Di satu sesi lunch biasa bersama lima rakan sekerja, setelah kenyang bermakan-makan, kami macam biasa berborak-borak membuang masa sementara menanti masa lunch tamat. Aku pula yang kehabisan rokok cuba mencari taktik untuk mengepau seorang rakan aku, Alex. Ketika itu pula Alex sedang rancak bercerita mengenai sebuah rancangan realiti yang mengadakan research mengenai apa yang seorang pengemis akan buat jika diberikan $1 juta tunai kepadanya dan perlu dihabiskan dalam masa 3 hari. Jadi apabila diberikan sahaja duit tersebut, bermulalah syurga sementara untuk pengemis tersebut. Antara yang dibelanjakannya ialah minuman keras, pakaian, tiket loteri, kereta mewah, berparti dan lain-lain. Selepas lebih kurang 2-3 hari, semua duitnya licin, setel, habis! Pengemis tersebut kembali mengemis dan merempat di tepi jalan seperti sediakala tanpa satu harta pun yang ada.
"Jadi kesimpulan yang dibuat oleh rancangan itu ialah, pengurusan kewangan juga boleh menjadi faktor penting untuk kita menjadi kaya dan kekal kaya." kata penutup dari rakan aku itu.Sambungnya lagi, "Tapi kalaulah ada orang bagi $1 juta kat korang, apa yang benda pertama yang korang akan beli?"
Mungkin sudah belajar daripada hasil kajian rancangan tersebut, rakan-rakan aku kebanyakkannya memberi jawapan-jawapan yang meyakinkan.
"Aku beli kereta dulu kot,"
"Terus beli rumah la."
"Beli saham company kita ni, terus jadi bos."
Setelah semua menjawab soalan tersebut, mereka semua memandang ke arah aku menantikan jawapan.
"Ko pulak nak beli apa dulu?"
Aku yang tidak khusyuk sangat mendengar apa yang mereka bualkan terus menjawab,
"Aku beli rokok dulu. Lepas hisap rokok baru aku dapat fikir apa yang aku nak buat dengan duit sebanyak tu. Bak kok tang!" dengan pantas aku mengambil rokok Alex dan menghisapnya dengan gembira.